Gambar Ihsan Kosmo. Jangan lupa baca Nota Untuk Pembeli Di Bawah.
Semasa pembukaan rasmi kedai muzik terbaru Fenomena Music beberapa minggu lalu, peminat Search juga telah diberi peluang untuk menempah 100 keping pertama pengeluaran semula LP buat album lagenda Fenomena mereka. Seperti penghasilan semula LP artis tempatan dan Singapura yang lalu seperti Wings, Zainal Abidin, Ella, Rusty Blade, Lefthanded, LP Fenomena ini sudah pasti tidak akan terlepas daripada kritikan membina atau menghina mutu penghasilan semula LP ini dari segi audio mahupun corak kulit LP. Apatah lagi pengeluaran semula LP sebelum ini boleh dianggap sebagai 'teaser' berbanding dengan LP Fenomena ini yang rata-rata rakyat Malaysia menggelarkan album ini sebagai album 'puaka' disebabkan oleh kekuatan lagu Isabella. Dalam erti kata lain, ini akan menjadi cabaran terbesar bagi syarikat Dream Studio yang bertanggungjawab sekali lagi untuk projek ini. Bahkan, saya juga tahu ramai yang mengkritik kredibiliti saya sebagai pengulas audio dan visual tetapi saya sudah biasa mendengar suara-suara sumbang seperti ini dan tahu yang ulasan saya adalah neutral dan berdasarkan apa yang didengar dari sistem hifi saya. Untuk sahabat2 sebenar yang memang mengenali saya di dalam industri hifi tempatan dan luar negara memang tahu aspek2 yang saya tekankan di dalam setiap ulasan yang diterbitkan.
Perlu diingatkan di sini bahawa penilaian mutu audio amatlah subjektif di mana terdapat pelbagai aspek yang boleh membuat pendengar suka atau terluka. Langkah terbaik ialah untuk pembeli mendengar dan menilai sendiri menggunakan sistem hifi masing-masing.
Berbalik kepada pengeluaran semula LP Fenomena ini dicetak di Amerika Syarikat berdasarkan LP Test Pressing yang dibekalkan kepada saya untuk menilai mutu audio. Seperti biasa, saya berasa amat berbesar hati kerana diberi kepercayaan untuk mengulas serba sedikit mutu audio yang bakal disajikan kepada peminat2 Search tidak lama lagi. Dianggarkan selepas Hari Raya Aidilifitri, LP ini akan berada di pasaran. LP ini juga akan dihasilkan semula dengan mencetak ke atas 2 keping LP 150 gram berbanding dengan sekeping LP 180 gram.
Buat kali ini, saya diberi peluang lebih lama untuk membuat ulasan ini. Maka saya telah lakukan sesi pendengar dari dua sudut berbeza:
- Pementasan audio menggunakan sistem hifi
- Dua pemain piring hitam digunakan - Clearaudio Concept (moden dan kartrij MC) dan Lenco L78 (vintaj dan kartrij MM)
- Butiran audio menggunakan headphone
- Beyerdynamic T1 Tesla headphone dan Oppo HA-1 amplifier
Rakaman juga telah dibuat dengan video kamera HD berbanding dengan rakaman menggunakan telefon bimbit yang biasa saya lakukan.
CLEARAUDIO CONCEPT
Ku Taklukkan Dunia
Ini merupakan lagu kegemaran saya di dalam album ini. Ketrampilan utama yang saya dapat rumuskan di sini ialah kekuatan nada vokal Amy yang penuh emosi dan alunan gitar yang memang menepati citarasa saya. Bahkan, nada rendah dari gitar bass Nasir dan paluan deram Yazit melengkapkan pementasan lagu yang begitu bertenaga. Secara keseluruhannya, setiap nada dari lagu ini memang dilanjutkan capaiannya untuk memberi pementasan audio yang agak besar and bertenaga.
Isabella
Tidak boleh membuat ulasan audio tanpa mendengar lagu ini. Bunyi gitar bass semasa intro lagu ini walaupun agak sedikit lemah, ianya masih timbul dengan agak jelas sepanjang lagu ini. Vokal Amy masih memaparkan kekuatan dan kenyaringan yang berpatutan. Tiada rasa 'kelesuan audio' sepanjang sesi pendengaran ini. Paluan deram Sang Gendang juga amatlah bertenaga di mana setiap bunyi paluan snare, tom2 dan crash cymbal amat padu.
Purnama
Ini merupakan satu lagi lagu yang intronya mempunyai kekuatan tersendiri. Dengan efek gitar yang agak 'metal' memberi nafas tersendiri kepada lagu ini. Rentak dan alunan (pace and rhythm) juga dititikberatkan dalam penghasilan semula LP ini. Saya amat yakin lagu ini adalah antara lagu yang bakal pembeli LP ini akan memainkan berulang kali. Dengarkan bahagian gitar solo lagu ini di mana setiap nada memang jelas kedengaran seperti dilanjutkan capaiannnya.
Pawana
Kita musnah dihembus pawana. Begitulah perasaan saya semasa mendengar lagu ini. Bukanlah musnah harapan tetapi musnah sudah kesangsian saya mengenai pengeluaran semula LP ini. Mengapa? Kerana antara semua lagu2 di dalam album ini, saya anggap ini adalah lagu yang paling kompleks terutama semasa deram solo Sang Gendang di mana jikalau tidak diadun baik, akan berbunyi tertutup dan juga mampat. Cuba dengarkan deram solo di bahagian hujung lagu ini. Setiap paluan jelas diperdengarkan satu persatu.
LENCO L78
Purnama
Merujuk kepada pernyataan saya di atas mengenai betapa subjektifnya ulasan audio, saya ulangi sesi pendengaran saya dengan menggunakan pemain piring hitam Lenco L78 pula. Hanya dengan menukar pemain sahaja, jelas kedengaran perbezaan bunyi. Apatah lagi apabila dimainkan di sistem hifi masing-masing, pastinya ada kelainan. Bunyi dari lagu Purnama ini lebih menghala kepada penekanan terhadap nada tinggi. Bunyi gorengan gitar Kid/Din/Hillary agak tajam diiringi oleh kenyaringan vokal Amy. Mutu audio secara keseluruhannya lebih berbunyi kepada ketrampilan 'raw'. Ciri2 audio yang diperdengarkan semasa dimainkan dengan Clearaudio masih dapat didengari tetapi tidak se-emosi sesi sebelum ini.
Ku Taklukkan Dunia
Apabila lagu kegemaran saya ini dimainkan semula, dapat disimpulkan yang ciri2 audio sebelum ini masih kedengaran (kekuatan vokal dan alunan gitar yang melodik) tetapi tahap emosi dan pementasan audio yang saya nikmati sebelum ini, agak berlainan. Lebih tertutup walaupun nada tinggi sekali lagi agak ketara menggunakan Lenco L78.
Isabella
Bunyi gitar bass semasa intro lagu ini jelas lebih bertenaga dan jelas kedengaran sepanjang lagu. Walaupun sekali lagi kenyaringan nada tinggi jelas kedengaran. Ia memberikan pementasan audio yang agak besar tetapi ada sedikit kemampatan bunyi masih boleh didengari.
MELALUI HEADPHONES
Ulasan melalui headphone bukanlah kaedah baru tetapi ia amat berguna untuk mengasingkan lebih banyak aspek2 yang boleh memberi efek kepada mutu audio yang didengari. Antaranya, dengan menggunakan kaedah ini, pengulas boleh mengasingkan aspek akustik bilik daripada mutu audio yang didengarkan. Saya hanya menggunakan Clearaudio Concept untuk ulasan ini.
Dengan lagu Ku Taklukkan Dunia, butiran piano juga lebih timbul dan bersepadu dengan instrumen muzik yang lain. Jelas agak neutral mutu audio yang boleh didengari dari lagu ini. Lebih emosi dapat dilahirkan dengan penapisan efek2 luaran. Vokal Amy sekali lagi merupakan kekuatan LP ini walaupun secara keseluruhannya agak neutral mutu audionya.
Bagi lagu Purnama, petikan gitar semasa intronya lebih jelas dan koheren dengan vokal dan instrumen lain. Efek metal yang dimasukkan kepada lagu ini memang bertepatan dan penghasilan semula LP ini berjaya memaparkan satu persembahan yang agak neutral. Setiap instrumen sememangnya timbul bunyinya.
KONKLUSI
Secara keseluruhan, saya amat berpuas hati dengan pengeluaran LP Fenomena ini. Jauh lebih berpuas hati berbanding dengan LP-LP pengeluaran semula sebelum ini. Di masa penulisan ini, saya masih tidak dapat pengesahan mengenai samada sumber audio adalah dari master tape atau tidak tetapi mutu audionya tetap boleh diterima. Kekuatan utama sememangnya vokal dan nada rendah tetapi iringan nada tinggi terutama kenyaringan petikan gitar masih dapat diterima adunannya. Pementasan audio yang besar dan bertenaga mengalirkan satu emosi rock yang sememangnya berpuaka.
Walaubagaimanapun, persepsi mutu audio masih adalah hak masing2. Sedap di telinga saya tetapi mungkin bagaikan 'bunyi di dalam gua' kepada peminat Search dan 'otai' hifi yang lain.
Dengan harga RM300 untuk edisi 2 keping LP ini, sememangnya akan di cabar hebat oleh 'otai2' hifi terutama warga Malaysia. Dengan harga sebegini, harapan golongan ini semestinya mahukan mutu audio terbaik. Jikalau 'otai2' hifi ini mempunyai sistem yang boleh mengeluarkan bunyi yang terbaik buat mereka, saya berpendapat yang mereka tidak akan begitu kecewa dengan pengeluaran semula LP Fenomena ini.
Buat peminat2 sejati Search pula, ia sememangnya satu peluang keemasan untuk memilik LP ini kerana pasaran pengeluaran pertama telah pun mencapai tahap baru yang kebanyakan orang tidak dapat mencapainya. Dengan harga semahal RM 1200 sekeping untuk pengeluaran pertama, pengeluaran semula LP ini dengan harga yang lebih rendah akan memuaskan peminat2 Search.
Jadi, mitos atau sejarah?
Anda cari jawapannya sendiri!
NOTA UNTUK PEMBELI:
- Tempahan 100 keping pertama telah habis. Walaubagaimanapun, pihak Dream Studio akan membuka tempahan untuk 400 keping yang lain tidak berapa lama lagi.
- Hanya 500 keping yang pertama ini akan diterbikan dalam edisi 2 keping LP di mana 2 lagu tambahan telah dimasukkan yakni Mencari dan Malam.
- Pengeluaran seterusnya akan dilakukan dalam edisi 1 keping di mana tiada lagu bonus disertakan.
Senarai alatan hifi yang digunakan untuk ulasan ini:
- Pemain piring hitam - Clearaudio Concept (kartrij MC) dan Lenco L78 (kartrij MM)
- Phono stage - Musical Fidelity M1 ViNL
- Amplifier - Musical Fidelity M6i (tweeter) dan monoblock/supercharger 550K (bass)
- Speakers - ProAc Response D18 dan kabel Black Pearl Vermouth Audio
- Headphone amplifier - Oppo HA-1
- Headphone - Beyerdynamic T1 Tesla
No comments:
Post a Comment