Baru-baru ini, satu pengumuman telah dibuat di media sosial tentang pengeluaran album terakhir kumpulan legenda tanahair Seach dalam format piring hitam. Edisi piring hitam ini akan berada di pasaran pada 28 Julai 2020 ini. Walaubagaimanpun, memandangkan pengeluarannya terhad kepada 500 keping sahaja, peminat-peminat Search dan piring hitam boleh membuat tempahan dengan penjual-penjual terkemuka seperti Sezali Zakaria.
Saya pula agak bernasib baik kerana dijemput untuk mendengar dan mengulas serba sedikit tentang pengeluaran piring hitam ini sebelum ianya dipasarkan. Sejujurnya, penerbitan album ini dalam bentuk cakera padat pada tahun 2017, saya tidak dapat menjiwai lagu-lagu baru kumpulan Search ini kerana adunan bunyinya lebih menekankan frekuensi tinggi. Vokal Amy agak tenggelam di sebalik kenyaringan gitar Kid dan Nordin. Contohnya dalam lagu ke lima, Henjut.
Untuk sesi pendengar khusus ini, saya telah menggunakan dua kaedah iaitu melalui sistem speakers dan juga sistem headphone. Senarai peralatan boleh dibaca di nota kaki ulasan ini.
Setelah mendengar setiap lagu dalam album dalam format piring hitam ini sepanjang 4 hari yang lalu, saya mendapati terdapat mutu audio yang berbeza daripada cakera padat. Saya telah memutarkan piring hitam ini seiringan dengan cakera padat dan telah menukar input unutk membuat perbezaan bunyi A-B.
Perbezaan yang amat ketara adalah lontaran vokal Amy yang lebih timbul dalam adunan audio dalam format piring hitam ini. Ini amat ketara dalam lagu-lagu yang lebih keras seperti Henjut, Gagalista dan Sulalatu Salatin. Di sebalik kenyaringan gitar, vokal Amy jelas telah diketengahkan dan lebih menonjol.
Pengamatan audio yang kedua merupakan kepada lontaran frekuensi rendah dari gitar bass Nasir dan juga ketukan drum dan kick pedal Pae. Petikan gitar bass dalam lagu Apologia lebih dalam bunyinya. Begitu juga dengan kick pedal Pae.Intro bass di dalam lagu Sidang Kangaroo juga lebih padu dan bertenaga.
Di dalam pengeluaran cakera padat tempoh hari, saya juga dapati yang frekuensi tinggi di dalam lagu Embun agak nyaring dan seakan-akan 'pecah dan dipotong'. Paling jelas merupakan bunyi snare drum, hi hat dan crash cymbal Pae. Bunyi alat-alat drum ini seakan-akan terbantut di mana sepatutnya bunyinya harus lebih tersebar (disperse). Dalam format piring hitam ini, bunyinya ini lebih tersebar dan aliran bunyinya amat lancar.
Masih ada satu atau dua lagu yang adunan audionya masih nyaring dan kasar tetapi tidak senyaring di dalam cakera padat. Antaranya ialah Sidang Kangaroo dan Nama Yang Kau Lupa.
Secara keseluruhannya pula, apa yang saya dapati, melalui sesi mendengar piring hitam ini, saya telah dapat menjiwai dengan lebih mendalam lagu-lagu dalam album ini. Saya mula memahami mengapa sifu M. Nasir telah mencoret kata-kata berikut:
'Mencipta lagu dan album kumpulan Search bagai menempa senjata untuk mereka berperang. Saya bukan berkarya sekadar menghibur tapi mencipta wirawan wirawan budaya. Album ini adalah hasil darah, keringat dan tangisan orang melayu, memberi pengharagaan pada muzik terdahulu tercipta...Insha Allah.'
Bagaimana pula saya boleh mengalami pengalaman ini berbanding dengan semasa mendengar cakera padat? Saya hanya dapat atribut pengalaman ini kepada tarikan mutu audio yang lebih kemas pembikinannya berbanding dengan cakera padat. Mendengar lagu Apologia membuat saya begitu tersentuh dan terkesan dengan mutu audio piring hitam ini. Adakah ianya analog sepenuhnya? Dalam skala 1 hingga 10, saya akan letakkan mutu audio piring hitam ini di aras 8. Masih ada yang boleh diperbaiki terutama di dalam lagu Sidang Kangaroo dan Nama Yang Kau Lupa.
Baiklah, cukup dengan ulasan tentang mutu audio. Apabila kita membeli piring hitam, ada yang juga melihat mutu pengeluaran kulit album dan pakejnya. Untuk piring hitam ini, peminat akan mendapat sebuah poster dan buku lampiran yang mengandungi foto-foto berkualiti tinggi yang diambil sepanjang pembikinan album dan konsert Search. Piring hitam ini juga adalah dalam kelajuan 33 rpm dan kulit albumnya adalah dalam bentuk gatefold yang tinggi kualitinya. Sesuai dengan 'artwork' yang menarik. Artwork untuk piring hitam ini juga agak berbeza dengan cakera padat.
Kepada yang berminat untuk menempah piring hitam ini, boleh berhubung dengan penjual seperti Sezali Zakaria di Facebook beliau atau secara langsung dengan Pawana Music. Piring hitam ini dijual dengan harga RM199 dan pada saya, dengan kualiti yang sebegini, amat berpatutan terutama untuk peminat tegar Search.
Nota Kaki:
Senarai peralatan yang telah digunakan untuk sesi audio ini:
- Kronos Sparta Turntable dan kartrij ZYX Omega
- McIntosh MCD350 SACD/CD player
- SPL Audio Phonos, Direct Mk2 pre amp dan S800 Performer power amp
- Speaker PMC Twenty5 24
- SPL Audio Phonitor 2 headphone amplifier
- Beyerdynamic T1 dan Sennheiser HD800S headphones