Beberapa bulan dahulu, peminat Zainal Abidin telah disajikan dengan rilisan semula album Hijau di dalam bentuk LP. Ketika itu, peminat juga diberitahu yang album-album Zainal Abidin akan terus diriliskan untuk memberi peluang kepada peminat-peminat memiliki LP-LP ini. Rilisan semula album Hijau menerima maklum balas bercampur daripada peminat. Ada yang amat teruja terutama kepada mereka yang berputih mata dengan harga jualan rilisan pertama album ini, ada yang sedikit kecewa kerana satu lagi 'killer song' yakni Ikhlas Tapi Jauh tidak dapat dimasukkan ke dalam rilisan kedua ini dan ada juga yang tidak berpuas hati dengan mutu audio di dalam rilisan kedua album Hijau ini. Pada pendapat penulis, semua komen dan pendapat dari pembeli dan pendengar adalah betul belaka kerana penilaian dibuat berdasarkan pendengaran dan sistem audio masing-masing. Walaubagaimanapun, penulis anjurkan supaya pendapat atau komen diberikan dengan ilimiah dan etika supaya industri muzik tanahair terus maju. Agak menyedihkan apabila penulis melihat artis atau pemuzik lain dari pelbagai genre muzik memberi pendapat secara kutukan atau sindiran yang tidak membina. Agak menyedihkan apabila melihat status sebegini memandangkan industri muzik kita ini bukanlah se gah mana pun berbanding dengan negara lain. Bahkan, sudah pasti penulis juga akan terkena tempias secara langsung atau tidak langsung dengan penerbitan ulasan ini. Itupun kalau ada yang membaca heheheh.
Berbalik kepada rilisan seterusnya dari Zainal Abidin, Orak Orek merupakan rilisan kedua di dalam siri Legacy beliau yang bakal menemui peminat pada penghujung Julai 2017. Ini adalah agak menarik di mana album 'live' ini belum pernah dikeluarkan di atas format LP sebelum ini. Sebelum ini, peminat menikmati persembahan live ini dari format CD atau digital yang lain. Apabila diberi peluang oleh pihak Dream Studio untuk memberi sedikit ulasan tentang LP ini, tidaklah saya dapat menolak kerana ini adalah Zainal Abidin!.... Zainal Abidin! Saya ulangi...Zainal Abidin! Heheheh.. Memang saya amat meminati bakat beliau yang amat terserlah terutama di persembahan2 live.
Kulit LP ini diterbitkan secara gatefold glossy dan lagu-lagu dimuatkan ke dalam sekeping LP sahaja. Justeru itu, jikalau dibanding kan dengan format CD, ada beberapa lagu yang sekali lagi tidak dapat dimuatkan di dalam LP ini. Senarai lagu adalah seperti di bawah. Sekeping poster juga telah disertakan.
Lagu-lagu yang tidak dapat dimuatkan:
1. Inayah
2. Baba
3. Debu Liar
MUTU AUDIO
Terus kepada ulasan tentang mutu audio LP ini. Sesi mendengar telah dilakukan beberapa kali menggunakan dua pemain piring hitam yang berbeza yakni Lenco L78 dan Technics SL1200 MKIII.
Senang Senang (Technics SL1200 MKIII)
Jelas terperinci seawal lagu pertama Senang-Senang. Dengan pembukaan bahasa Jepun dan permainan perkusi yang jitu, tidak kedengaran ada unsur-unsur bunyi gemaan. Petikan gitar bass di dalam lagu ini sangat menggetarkan jiwa dengan setiap nota yang dipetik. Dari segi vokal juga, intonasi suara Zainal lebih beritma dan bertenaga kalau dibandingkan dengan LP Hijau dahulu. Masih ada sedikit frekuensi tinggi yang agak tajam terutama bunyi hi-hat dan splash cymbal tetapi tidaklah sepanjang lagu. Apa yang sangat ketara ialah frekuensi rendah atau bass yang lebih jitu dan bertenaga. Agak santai sesi pendengaran lagu ini.
Telaga (Lenco L78)
Tidak perlu mendegar keseluruhan album untuk mendapat kepastian tentang kekuatan frekuensi rendah LP ini. Permainan perkusi di pembukaan lagu ini jelas memperdengarkan betapa bertenaganya dentuman bass pada pengeluaran LP kali ini. Mutu vokal masih tidak terjejas atau tenggelam walaupun bunyi bass amat dominan dalam pengeluaran LP kali ini. Frekuensi tinggi sekali boleh kedengaran agak tinggi di beberapa ketika di dalam lagu ini tetapi tidaklah sehingga bingit. Lapisan-lapisan berlainan di dalam genre muzik nusantara seperti ini juga berjaya dikupas di dalan pengeluaran kali ini.
Manis (Lenco L78)
Di dalam lagu Manis, ianya lebih santai di mana persembahan secara keseluruhannya lebih neutral dan tidak begitu menekankan kepada frekuensi rendah. Pada pendapat penulis, pada lagu ini lah vokal Zainal amat terserlah. Getaran dalaman vokal Ziainal dapat dirasai, dapat dibayangkan betapa emosinya beliau semasa membuat persembahan ini. Ini bukanlah merupakan kekuatan utama LP ini tetapi cara lagu Manis ini dipersembahkan, ianya begitu penuh emosi.
KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, telah banyak pembaikan dimuatkan ke dalam pengeluaran LP ini. Adakah ianya bunyi analog yang diidam-idamkan oleh otai-otai piring hitam tanahair? Atau ianya akan menjadi perbincangan sensasi sekali lagi? Pada pendapat penulis, ada beberapa ketika, penulis diserap masuk ke dalam linkungan emosi analog tetapi ada juga ketika di mana penulis tidak rasa begitu. Masih ada ruang unutuk melengkapkan pengalaman analog di dalam pengeluaran LP ini tetapi buat masa ini, penulis berasa bahawa LP ini sudah memberi kepuasan yang agak tinggi untuk penulis mendengarnya berulang kali. Bass yang padu, vokal yang jelas dan keperincian yang tinggi!
Kepada yang berminat, boleh lah cuba-cuba intai-intai Facebook penjual2 LP di Malaysia dan Singapura seperti Sezali Zakarai, Jpari Din, Hafeez Crossroads, Radzi THR, Nick Mun HGR dan ramai lagi. Harga masih tidak diberitahu oleh pihak pengeluar semasa ulasan ini dibuat.
No comments:
Post a Comment